Followers

Tuesday 21 February 2012

# 17 - Gembira yang wasatiyah

Pernah rasa gembira? Yes, aku paling tidak suka rasa gembira yang melampau2. Sebab aku akan komen semua status orang di facebook. Esoknya aku bangun dan baca balik, aku akan cakap, "bodonya.... apsal lah aku tulis macam tu."

Ya, perasaan gembira boleh lead diri aku kepada perasaan kebal dan tidak ragu-ragu yang akhirnya akan memakan diri sendiri. Betullah, wasatiyah juga yang bagus. Aku nak berlatih gembira yang wasatiyah.

Arghhh...

Sunday 5 February 2012

# 16 - Novel yang mengajak pembaca berfikir adalah novel....

Nota: Saya tidak tahu mahu letak tajuk apa sebab saya malas mahu menyusun idea, dan ini menjadikan entri ini sangat caca marba. Walau bagaimanapun, sebab cuti maka saya rajin buat self censorship pada bahasa dan ejaan supaya tidaklah terlalu kasar. Sayangnya, self censorship saya tidak buat pada struktur dan idea. hehehe


___________________________________________________________________________________

Saya dimaklumkan, novel yang bagus adalah novel yang mempunyai pemikiran yang kuat. Cuma saya tidak pasti ke arah mana 'pemikiran' itu akan pergi, adakah 'pemikiran' itu mengarah kepada 'jawapan', ataupun 'pemikiran' mengarah kepada 'berfikir'.

Saya juga dimaklumkan, bahawa novel yang bagus adalah novel yang 'menjawab' segala permasalahan masyarakat, cuma sekali lagi saya kurang pasti, adakah 'menjawab' itu dalam bentuk memberi 'jawapan' ataupun memberi 'berfikir'.

Yang mana satu lebih atas antara 'jawapan' dan 'berfikir'? Mungkin boleh kata-kata orang bijaksana yang saya lupa nama ini, dijadikan hakim.

Katanya, “Orang yang pandai adalah orang yang boleh menjawab soalan dengan betul, tetapi orang yang bijaksana, adalah orang yang boleh memberi soalan yang tepat.”

Jelas, novel yang punya 'pemikiran', novel yang 'menjawab', sekiranya berakhir dengan 'jawapan', maka ia belum mencapai taraf novel yang paling atas, kerana yang paling atas adalah 'berfikir'.

Malah Al Quran sendiri, ada berapa banyak ayat yang berakhir 'tidakkah kamu mahu berfikir?' ataupun 'supaya kamu berfikir'.

Jelas, berfikir itu sangat tinggi.

Yang menjadikan perkara tidak jelas adalah, bukan semua perkara boleh diiktiraf sebagai 'berfikir'. Tidak pasti bagaimana ia bermula, tetapi dalam novel, 'berfikir' itu ditakrifkan sebagai sesuatu yang perlu bersifat politik ataupun jiwa manusia yang kosong. Mungkin novel itu, novel cinta tetapi ia tetap perlu menyinggung hal politik atau jiwa kosong, sama ada menulis berkenaan penentangan, perjuangan, sejarah, idea baru, gila, pencarian, ataupun mempertahankan. Itulah definisi novel 'berfikir'.

Padahal, 'berfikir' itu sendiri sangat luas asalkan ia tidak bersangkutan dengan 'berfikir' bagi memenuhi nafsu, dan sekiranya manusia itu sekadar 'berfikir' daripada mana datang kasutnya sendiri pun, sudah menjadikan dia manusia yang 'berfikir'.

Tetapi tidak mengapalah. Ikut sahaja mana pendapat yang popular.

Jadi, semua penulis yang bercita-cita baik, berusaha menulis novel yang membuatkan orang berfikir. Dengan harapan orang yang membacanya akan berfikir, dan dengan fikiran mereka, kehidupan di dunia menjadi lebih baik. Lalu di sinilah situasi itu tidak memihak.

Semua tahu, pekerjaan yang paling mahal gajinya adalah 'berfikir'. Jadi, sekiranya 'berfikir' itu mudah, adakah ia akan dibayar mahal?

Manusia ini, hendak memikirkan masalahnya sendiri pun tidak mahu, apatah lagi sekiranya disuruh 'berfikir'. Lebih parah, apabila mereka disuruh berfikir melalui bacaan. Lagilah mereka ragu-ragu.

Baiklah, untuk lebih adil, tidak semua manusia begitu. Dalam 1000 orang, mungkin ada 10 orang yang suka berfikir, tetapi untuk yang suka berfikir, mereka bukan lagi 'masalah' kerana mereka sudah dapat berfikir. Misalnya juri sayembara, sasterawan2 dan para intelek.

Tetapi bagaimana dengan nasib majoriti tadi? Itulah cabaran sebenar penulis. Menuliskan novel yang membuatkan pembaca berfikir, tidaklah sesusah, bagaimana mahu memujuk pembaca tadi membaca novel yang membuatkan mereka berfikir. Ini kerana berfikir itu ada ceritanya sendiri.

Manusia sengsara bukan kerana masalah, tetapi kerana terpaksa berfikir. Jadi bagi tidak mahu berfikir, mereka minum arak, dadah, bunuh diri. Lalu mereka yang suka berfikir, semakin banyak masalah, semakin mereka bersemangat.

Atas sebab itulah, novel2 cinta sangat laris, kerana novel begini menuruti kehendak manusia yang majoriti tadi, iaitu kurang mahu berfikir. Mereka lebih suka mendatangi emosi, kerana emosi itu nikmat.

Adakah salah mereka? Bukan salah mereka, tetapi memang itulah fitrah. Apa sahaja yang menguasai hati itu sangat indah. Cinta misalnya, sekiranya digunakan fikiran bagi menikmatinya memang tidak terasa nikmatnya. Hanya hati yang boleh merasai nikmatnya. Iman juga begitu, hanya dengan hati ia terasa kemanisannya. Sebab itulah, ramai yang hairan, mengapa ada cerdik pandai agama masih berbuat dosa besar, ini kerana mereka meletakkan pengetahuan berkenaan iman pada fikiran, bukan pada hati.

Namun, bagi mewujudkan perkara yang betul dan indah dalam hati, ia tetap perlu bermula daripada fikiran, dan untuk itu, manusia perlu berfikir.

Bagaimana mahu menyuruh mereka membaca novel yang membuatkan orang mahu berfikir?

Berfikir itu sangat bahaya, sekiranya tidak cukup ilmu. Jadi berapa banyak manusia yang kita lihat di sekeliling kita, oleh kerana suka berfikir tetapi tinggi fikirnya tidak selari dengan ilmunya, membuatkan dia sesat. Malah ada yang jadi gila.

Itulah yang perlu diperhatikan penulis. Adakah novel yang dituliskan itu, hanya mengandungi 'berfikir' ataupun turut menyediakan ilmu bantu ke arah 'berfikir' itu. Penulis perlu bertanggungjawab ke arah itu, takut nanti novel hanya melahirkan pembaca yang 'sesat', semakin jauh pula daripada agama.

Lalu, kehadiran banyak novel yang bersifat tempelan, bersifat dadaktik adalah sangat perlu. Mungkin sahaja, ia dikecam kerana tidak memberikan sensasi 'berfikir' kepada pembaca, tetapi ia lebih bertanggungjawab 'menyediakan' pembaca kearah pekerjaan yang bahaya tadi, iaitu berfikir.

Mengapa perkara begini nampak perlu? Hanya dengan tempelan nasihat, ayat suci dan hadis yang mampu membuatkan manusia berasa dirinya jahil. Itulah yang penting, kerana dengan menyedari kejahilan sendiri, ia adalah langkah terbaik kepada pengetahuan. Pengetahuan di sini bukan sekadar bermaksud kita tahu tentang sesuatu perkara, tetapi yang lebih besar daripada itu ialah, kita tahu di mana kita boleh mendapat maklumat berkenaannya.

Di sinilah perlunya penulis memahami evolusi pembaca. Bukan penulis sahaja yang akan berevolusi dengan penulisan, tetapi pembaca juga akan ikut berevolusi. Semua manusia, bermula dengan membaca, ABC, kemudian membaca cerita kanak2 berkenaan pari2, dongeng, kemudiannya kepada kisah remaja dan seterusnya sehinggalah mereka meningkat dewasa.

Evolusi pembaca bukan berdasarkan umur. Sekiranya umurnya 30, dia perlu membaca novel2 begini dan begitu. Tetapi evolusi berdasarkan usia pembacaannya. Sekiranya sejak dari darjah dua sudah membaca novel remaja, darjah lima sudah membaca novel sasterawan, maka semakin cepat dia berevolusi.

Mungkin ada berkata, mengapa makcik2 suka membaca novel cinta, adakah mereka tidak berevolusi? Mereka berevolusi tetapi, evolusi bukan berkenaan mengubah kegemaran, tetapi mengembangkan kegemaran itu. Mungkin sahaja, selain novel cinta mereka juga membaca kitab2 dan novel sastera yang berat. Walaupun, mungkin sahaja, ada evolusi yang gagal, tetapi itu sangat jarang.

Sekiranya sudah sampai pada tahap itu, bagi mereka yang benar2 mahu berubah, mereka akan pergi ke arah pengetahuan itu. Pada ketika pengetahuan sudah mereka peroleh, sensasi membaca juga berubah. Mereka mahu yang lebih daripada sekadar novel yang biasa. Mereka mahu novel yang membuatkan mereka 'berfikir'.

Di sinilah fungsi novel 'berfikir' tadi. Ia berfungsi sebagai evolusi pembacaan. Tetapi ia bukan evolusi terakhir. Tetapi ia bersifat memprovokasi pengetahuan mereka tadi, membuatkan mereka terus meningkatkan daya 'berfikir', dan semakin mereka berfikir, mereka semakin berasa 'lapar' pada pengetahuan. Sama ada mereka terus ke sumber primer, dengan turun ke lapangan mengkaji sesuatu isu, ataupun terus kepada sumber sekunder iaitu buku akademik dan jurnal, novel 'berfikir' tadi sudah melengkapkan evolusi seorang pembaca tadi, menjadi seorang yang mahu 'berfikir'.

Jadi, di tahap mana pun novel itu, selagi mana ia bukan novel memberi dosa, ia tetap sama pentingnya dengan novel yang dikatakan novel 'berfikir', kerana ia melengkapkan evolusi pembaca. Adalah sangat tidak wajar, melihat novel2 yang dikatakan tempelan, yang dikatakan tidak sastera sebagai sesuatu yang rendah, kerana ia tetap berada dalam barisan yang sama.






Sunday 29 January 2012

# 16 - Maksud show dont tell dalam novel. lalalala

Apa yang kita faham, show dont tell dalam novel? Jangan beritahu tapi tunjuk? Ya, betul. Tapi apa maksud sebenar jangan beritahu tapi tunjuk?

Misalnya nak cerita seorang budak yang marah dengan bapaknya. Kalau beritahu cukup sekadar beritahu, 'budak itu marah dengan bapaknya'.

Best ke? Kita lihat pula ayat kedua.

'Budak itu menjeling bapaknya. Tangannya digenggam kuat lalu dia berjalan menghentak2 kaki'.

Best ke? Ayat kedua tak ada beritahu budak tu marah, tapi dia tunjuk.

Ok, kita kembali kepada asas novel. Novel adalah sesuatu yang membuatkan kita berimaginasi. Ia menyuruh kita berimaginasi, ia menggalakkan kita berimaginasi. Ia memang perlu begitu dan itulah novel.

Jadi 'show dont tell' dalam novel sebenarnya adalah bagi membolehkan kita berimaginasi. Itu cara mudah bagi membuatkan pembaca berimaginasi. Tetapi kalau dah terlalu detail dia punya 'show', sampai orang tidak boleh nak berimaginasi, itu adalah buku 'cara buat duit dengan pokok rumbia'.

Apa yang mahu di 'show' bukan pada ayat, tetapi pada imaginasi pembaca. Sekiranya sekadar mahu 'show' pada ayat, tak kemanalah juga. Jadi gabungan 'show + tell' akan menjadikan teknik 'show dont tell' sesuatu yang power.

Itulah maksud sebenar 'show dont tell'. Kata kuncinya, show dalam imaginasi. Imaginasi. Imaginasi. Imaginasi.

Contohnya, 'Budak itu berasa ada sesuatu dalam hatinya. Perit. Mahu sahaja rasanya dia menendang meja di hadapannya, tetapi itu meja batu. Mahu juga rasanya dia meneriak ke jendela, tapi apa kata jiran'.

Best? Ok, tak best pun. kakaka

# 15 - Ini semua politik dunia penulisan.

Bercerita berkenaan menulis, kalau anda fikirkan mahu menulis untuk sesuatu genre, bermakna anda sudah menetapkan langkah anda untuk melalui jalan itu. Misalnya, nak pergi rumah ketua kampung, guna jalan sungai, jalan sungailah yang anda akan lalui.

Mudah? Ya, memang mudah sekiranya nak pergi ke rumah ketua kampung, sebab definisi sungai itu mudah. Bezanya kalau dalam menulis, kalau anda kata nak ikut jalan sastera, bersedialah untuk pening. Sastera itu sendiri macam2 definisi. Yang belah itu kata sastera itu begini, yang belah sini kata sastera itu begitu. Semuanya nak betul.

Jadi mana satu yang betul? Kalau nak pergi ke rumah ketua kampung, mana satu yang penting, jalannya atau destinasinya?

Mula2 mestilah destinasinya, iaitu ke rumah ketua kampung sebab di sana ada kenduri. Bagaimana kalau destinasi kita nak ke rumah ketua samseng sebab kat sana ada jual nombor ekor? Mestilah itu bukan destinasi yang elok ya, tuan2 dan puan2. Semua tau judi itu haram di sisi agama Islam, bukan setakat di sisi malah di tengah, di atas, di bawah, ikut celah manapunlah, tetap haram.

Tapi takkan semua orang nak ke rumah ketua kampung? Mana yang remaja sikit tu, mungkin pergi ke rumah kawan nak belajar berkumpulan, atau pergi ke muzium, pergi ke air terjun, pergi ke kedai beli barang. Itu semua destinasi pilihan masing2. Janganlah pulak kita nak marah apsal dia tak pergi kenduri ke rumah ketua kampung. Mungkin ketua kampung tak jemput, atau bapak dia dah pergi, jadi buat apa nak pergi lagi, atau belum sampai seru.

Selepas itu, kita borak pulak pasal jalan. Boleh ikut jalan sungai, jalan darat, naik basikal, dan naik bas. Katakan semua jalan boleh sampai ke sana, jadi semuanya jalan betul. Nampak mudah? Sekali lagi nampak mudah sekiranya kita memang nak pergi ke rumah ketua kampung melalui jalan yang benar.

Bagaimana kalau nak pergi ke rumah ketua kampung ikut bumbung rumah orang? Kalau tuan rumah izinkan tidak ada masalah, masalahnya Tuan rumah mana yang nak izinkan. Berdosa tak kita? Anda jawab sendiri.

Walaupun semua jalan ke rumah ketua kampung betul, tapi kita tetap tertakluk pada peraturan dosa pahala. Mana boleh ikut bumbung rumah orang, mana boleh pergi dengan curik perahu orang atau naik bas tak bayar tambang.

Begitu juga dalam menulis. Destinasi itu yang menjadi tujuan utama. Jadi, kalau niat anda menulis bagi menyedarkan orang Melayu betapa banyaknya peluang kerja, atau menyedarkan umat Islam betapa lemahnya mereka sekarang, jadi itu tidak ada masalah. Atau mahu menyedarkan perempuan bahawa cinta sebelum kahwin itu banyaknya tak jadi, Eloklah tu. Jangalah pula nak menulis bagi mengatakan orang Melayu itu tak gosok gigi atau berjudi itu tidak haram tetapi makruh. Itu namanya, matilah anda.

Ada juga yang menulis, destinasinya tidaklah besar mana, setakat mahu hiburkan anak remaja, mahu bercerita berkenaan perkara2 kecil, cerita itu cerita ini. Itu pun tidak mengapa asalkan ia tidak dapat dosa. Nanti seiring usia, dia pandai2 lah tulis benda yang besar2 pula. 

Selepas itu jalan ke arah 'destinasi' itu bagaimana? Anda nak bersastera Islami, bersastera transedantel, nak bersastera pop, barat, jepun, korea, bersastera itu ini begitu begini, tidak ada masalah asalkan tidak menyangkut pada perihal dosa.

Jalan terus. Jangan peduli cakap2 orang. Kerana dalam dunia, setiap perkara akan ada penyokongnya. Misalnya, ada yang suka ikut jalan sungai, selepas tu mereka cakap, “Jalan sungai adalah jalan yang penuh hikmah, melalui alam. Jalan darat bukan jalan yang benar, apatah lagi kalau naik basikal, Itu menyimpang.”

Mungkin dia cakap jalan sungai bagus, sebab dia nak kita sewa sampannya, atau guna basikal bagus sebab nak kita beli basikal kat kedainya. Atau sebab hanya jalan itu sahajalah dia tahu. Dari kecik sampai ke tua, dia cuma tahu naik bas. Mendayung, berbasikal langsung tak pernah.

Nampak?

Dalam dunia penulisan juga begitu, semua bertengkar berkenaan 'jalan' hendak 'ke sana'. Jalan ini lebih sastera, jalan ini lebih untung, jalan ini lebih romantik dan macam2 lagi.

Kalau anda baru hendak menulis, masih pening, beginilah, ikutlah jalan mana yang anda suka. Ada yang suka berenang, ikut jalan sungai, ada yang nak diet, kayuhlah basikal. Ada yang kaya, naiklah kereta. Kemampun kita berbeza2. Asalkan, apa tadi? Asalkan tidak berdosa.

Begitu juga dalam penulisan, bakat kita berbeza2 tahapnya. Manalah semua orang mampu nak tulis bunga2. Manalah semua orang nak tulis kelakar, mana lagi nak tulis romantik2 dan begini begitu.

Apa yang perlu kita lakukan, adalah kalau rakan kita cakap nak pergi rumah ketua kampung, dia nak naik basikal. Biarkan, ikut suka hati dialah. Cuma kalau dia naik basikal, tapi ikut jalan sungai, kenalah tegur. Kalau dia naik basikal, tapi jalan itu tak menuju ke rumah ketua kampung tapi menuju ke gua Niah, kena tegur juga. Kalau naik basikal, ikut bumbung rumah orang, pun kena tegur. Walaupun kita ini tak suka naik basikal kerana lebih gemar mendayung, tapi part2 begitu kena tegur.

Itu perkara2 yang patut ditegur, bukannya, “Kau naik basikal memang tidak sesuai. Basikal kau guna kebudak-budakan. Mana ada orang naik basikal dah zaman ni.”

Nampak?

Perkara utamanya, kalau anda dah pilih jalan itu, pilih destinasi itu, jalan terus. Pedulikan kata2 orang lain yang kata naik basikal itu bangang. Cara paling bodoh nak ke rumah ketua kampung atau apa sahaja.

Yang penting, anda berbasikal kerana itu sahaja kemampuan anda, dan minat anda. Asalkan tidak dapat dosa, jalan terus.

Perlu juga diingat, sekiranya anda sudah pilih jalan itu, perlu ikut peraturannya. Kalau pilih jalan sungai, kenalah naik sampan, rakit atau berenang. Jangan nak berbasikal pulak. Atau guna bas kat sungai. Matilah anda.

Begitu juga dalam dunia penulisan. Ada banyak syarikat, ada banyak institusi, kena ikut cara2 dan syarat2 mereka. Jangan nak tulis begini dengan syarikat yang tak suka cara itu, dan jangan tulis begini dengan syarikat yang tak suka begini. Kalau tak, matilah anda.

Jadi, semuanya kembali kepada diri sendiri. Banyakkan tanya orang, ikut jalan mana paling bagus nak ke rumah ketua kampung. Kalau tanya orang suka mendayung, katanya, “Ikut sungai bagus.” Kalau tanya budak basikal fixie, pasti naik basikallah sedap.

Itulah dunia penulisan. Kita menuju ke satu destinasi ikut bakat, ikut minat, ikut kemampuan kita, selagi mana ia tidak membuatkan kita berdosa. Mungkin jugalah apa yang kita tulis tidak dapat pahala, tapi sedaya upaya elakkan dapat dosa.

Ikut jalan mana? Ikutlah mana2. Kalau nak bertengkar jalan yang ini bagus, jalan yang itu bagus, tidak ada masalah. Bertengkarlah. Cakaplah, “Jalan sungai memang bagus sebab kalau haus boleh minum air sungai. Kalau naik bas, kau nak minum apa?” Biar ada fakta.

Tetapi jangan sesekali cakap, “Hanya jalan sungai sahaja jalan yang paling betul, paling benar, paling unggul dalam dunia ini.”

Itu zalim dan kejam namanya kerana kita tidak adil. Semua tahu, maksud adil, meletakkan sesuatu pada tempatnya, dan usah letakkan seorang penulis dengan bakat yang sedia ada itu, pada jalur penulisan yang dia tidak mampu. Itu tidak adil untuknya.

Perlu juga diingat, terkadang nak ke rumah ketua kampung, mula2 kena naik perahu lepas tu, naik basikal, akhir sekali naik bas. Sebab memang dah jalannya begitu atau ada orang yang suka advancer. 

Oklah, yang lagi lagi penting, mulakan berjalan ke rumah ketua kampung. Kalau asyik bertengkar kat rumah sendirik jalan itu bagus, jalan ini bangang, memang tak sampailah ke rumah ketua kampung.

Marilah berjalan.

Wednesday 25 January 2012

# 13 - aku hairan, kau hairan tak?

Aku agak hairan juga apabila berada dalam situasi ini. Katakan, kau sedang naik motor Yamaha dan kau juga naik motor Suzuki. Pada kau, kedua-dua motor itu ok, tak ada apa-apa pun.

Sehinggalah pada suatu hari, sorang brader misai datang dan cakap, “Motor Suzuki tak best, sebab bla bla bla. Jadi pakailah motor Yamaha.”

Kemudian kau pun naiklah motor Suzuki dan terus kau cakap dalam hati, “Eh, yalah. Betul brader misai tu cakap.”

Padahal sebelum ini, elok je kau naik motor Suzuki tu. Tiba2 lepas kau dengar brader misai cakap motor Suzuki tak elok, terus kau rasa tak elok.

Ok, itu perumpamaan dalam perkara yang terjadi dalam hidup. Mungkin agak teknikal sangat dan banyak lagi boleh didebatkan, tapi tinggalkan perkara tu kat brader misai.

Maksud aku, dalam hidup, dan sangat selalu aku alami adalah aku berasa pandai sekejap dan selepas aku fikir2, aku berasa macam bodoh pulak. Misalnya, dalam perkara nasihat. Sebelum ini aku tak berapa nak pandang ibu jari kaki orang, sampai sorang kawan cakap, “Kalau dia nak tau perempuan tu pembersih ke tak, dia tengok ibu jari kaki. Kalau hitam memang pengotor.”

Selepas itu aku dah start tengok ibu jari orang. Padahal, selama ni aku rilek je. Selepas itu terus otak aku fikir yang bukan2. Padahal, manalah tahu memang orang tu keturunan ibu jari hitam, atau minggu lepas ibu jari kena hempap komputer lalu darah beku jadi hitam. Semua perkara tu banyak kemungkinan, dan kemungkinan itu lebih besar daripada kemungkinan dia pengotor.

Ini yang aku cakap, mula memang nampak bijak, lama2 aku fikir aku berasa bodoh pulak.

Itu baru satu contoh. Banyak lagi contoh lain misalnya, gaya orang bercakap, gaya menulis dsb.

Bukan aku nak cakap benda tu tak betul langsung, malah dalam bab halal haram, dosa pahala benda ini penting. Misalnya, kalau ada tiga bintik tu, itu maksudnya kulit babi. Jadi jangan beli barangan daripada kulit ada tiga bintik. Itu perkara yang objektif, dan memang boleh dibuktikan tanpa perlu meragui keikhlasan hati orang.

Jadi dalam hal ini aku hairan dalam perkara2 yang perlu melibatkan niat dan hati orang. Aku hairan mengapa benda tu jadi mandatori. Mengapa seperti benda itu, memang confirm lah. Apa salahnya, semasa cakap tu beritahu yang itu cuma kemungkinan dan belum tentu betul. Atau lebih sedap, “Jangan percaya sangat, sebab Allah jugalah yang lebih tahu.”

Aku rasa, ilmu2 begini tidak silap, mungkin cara penyampaian yang menjadikan orang yang menerima ilmu itu silap pakai. Ilmu2 yang bertanda2 begini seeloknya dijadikan panduan dan disusahkan dalam hati sendiri, bukan dikhabarkan kepada orang lain.

Ke guane?


Monday 23 January 2012

# 12 - buah cempedak di luar pagar

Tadi aku pergi pasar malam. Pasal aku tiba2 lapar cempedak pulak. Akhirnya aku jumpa cempedak, dan apa lagi, aku pun beli.

Sebelum aku beli sempat aku berdialog dengan jurujual tu.

Katanya, “Abang nak goreng bila? Hari ni ke, esok?”

“Saya tak goreng, saya nak makan.”

Jurujual tu angguk dan terus pilih mana yang sesuai dengan selera aku. Semasa nak jalan balik tu baru aku terfikir, sebenarnya aku dah salah cakap. Aku cakap, aku tak nak goreng, aku nak makan je. Kalau goren pun, memang nak makan. Jawapan yang betul sepatutnya, 'saya mahu makan begitu sahaja, tuan'.

Tapi itulah, jurujual tadi commansense dia bagus. Bayangkan, kalau dia nak bersilat bahasa dengan aku tadi. Malu jugak aku. Malah, memang selalu aku kena macam tu. Misalnya aku tanya kawan aku, “Lawa jam, berapa beli?”

Kawan aku jawab, “Beli satu je.”

Kan aku dah malu. Padahal aku nak tanya harga, tapi cara aku tanya salah. Walaupun aku yakin kawan aku tahu sebenarnya apa maksud soalan aku, tetapi dia memilih nak bersilat bahasa dengan aku.

Kesimpulannya, cempedak tadi memang awesome. Fuhh. Puas hati

Friday 20 January 2012

# 11 - Kaki kebas

Solat Jumaat tadi, seperti biasa kaki aku kebas sebab bersila. Kalau aku bersandar kat tiang walaupun bersila takdalah kebas. Mungkin sebab kalau bersandar, jadi tak ada sangat tekanan kat kaki aku. Berbanding bersila biasa.

Kebas kat kaki jangan dibuat main. Pernah, sekali semasa berdiri nak solat Jumaat, kebas punya pasal aku hampir tumbang. Nasib baik aku sempat tahan tangan member aku kat sebelah. Itu nasib baik member aku kat sebelah. Kalau kat sebelah aku orang aku tak kenal? Apa pandangan dia kat aku? Mesti dia kata, "Apa pegang2 tangan lelaki ni. Dah la kat dalam masjid, nak sembahyang lagi. eeeii."

Jadi, antara yang aku buat, aku akan cuba carik tiang tapi biasanya gagal sebab, tiang tak banyak mana, sedangkan ramai orang nak tiang. Kemudian aku cuba carik dinding. Tapi ini jarang aku buat sebab biasanya kat dinding, kat situ budak2 sekolah lepak dan bising. Siak pulak jenis garang, tau nak jegil mata je kat budak2 tu. Malu jugak aku kalau kena jegil dengan siak.

Lalu, sekarang aku banyak praktikkan cara mengaktifkan kaki aku. Kejap aku bersila macam ni, kejap aku ubah posisi sila aku. Kiranya, aktif betullah semata2 tak nak kaki kebas. Tapi macam hilang adab pulak kat masjid. Lalu akhirnya aku terpaksa pasrah kaki aku kebas.

Sebenarnya salah aku jugak, sebab terlalu mementing penyelesaian masalah ketika masalah sudah berada di depan mata. Sedangkan masalah kebas, aku boleh selesaikan di luar masjid. Apa yang aku baca kat sini,

http://cyberclinics.org/artikel-cyberclinics/bidang-perubatan-medical/86-punca-kebas-anggota-kaki-dan-tangan

punca kebas itu bukan sekadar sebab tekanan pada salur darah. Mungkin sebab kurang vitaman, kalsium dan sebagainya (Aku tak tahu nak taruk apa lagi selain 'sebagainya'). Jadi, masalah kebas boleh selesai sebenarnya kalau aku betul2 nak selesaikan puncanya.

Hidup pun macam itu jugak. Biasanya, waktu masalah dah depan mata barulah nak selesaikan. Sedangkan sebelum itu boleh aje nak selesaikan. Misalnya masalah duit. Time duit takda, waktu itulah baru nak carik duit. Sedangkan sebelum itu boleh bekerja buat freelance sana sini bagi mengelakkan masalah duit takde.

Ini belum masuk bab2 agama lagi, masalah hati dan sebagainya (Ok, ini pun aku terpaksa guna 'sebagainya').

Benda2 begini perlukan otak yang terus berfikir kepada akar masalah, bukan sekadar kepada buah masalah. Kalau setakat petik buah masalah, memang masalah takkan hilang. Cuba cabut sekali dengan akar2nya. Baru puas hati.

Nak latih otak bagi berfikir terus kepada punca masalah itu yang sangat susah. Sekarang aku perlu berlatih ke arah itu. Jadi, sekarang aku akan cuba rajin makan sayur. Aku rasa kaki aku kebas sebab aku kurang vitamin, yalah sebab kurang makan sayur.

Itu baru masalah kebas. Masalah lain? Ok, aku dah start pening.

# 10 - Mengapa sastera itu susah?

Orang kata sastera itu susah. Hmm... memang susah sebenarnya sebab sastera itu sendiri terlalu banyak definisi. Jadik nak guna definisi yang mana? Itu baru satu susahnya sastera. Jadi kita lihat apa yang membuatkan sastera itu bertambah susah. Kita boleh gunakan kata2 Cyrill Connolly semasa dia membicarakan berkenaan sastera.

Mengikut kata Cyrill Connolly,

"Kesusteraan adalah seni menulis sesuatu yang akan dibaca dua kali; kewartawanan adalah sesuatu yang difahami hanya sekali."

Jadi penulis pun, menulis bersungguh. Membuat ayat2 yang berlapis2 maknanya supaya ia perlu dibaca dua tiga kali. Kali pertama dibaca, makna permukaan yang difahami. Baca kali kedua, makna pada lapis kedua pula muncul.

Maka dua keputusan ini berlaku:

1- Keputusan bersifat kekecualian : Pembaca/editor kata, "Wah, hebat tulisan ini. Matang dan semakin dibaca, semakin banyak yang terungkap."

2- Realiti sebenar : Pembaca/editor kata, "Apa dia tulis ni? Tak faham aku. Pening. Mengarut banyak."

Kah kah kah. Nampak?

Thursday 19 January 2012

# 9 - Kata Jean Kerr

"Mengahwini seorang lelaki samalah seperti membeli barangan yang sudah lama kamu lihat, dan sudah lama kamu berkenan. Kamu mungkin gembira semasa membawanya balik. Tetapi ia tidak selalunya sesuai dengan barang-barang lain yang ada di rumah."

Bukan main lagi Jean Kerr. kah kah kah.

# 8 - aku pening apabila ekonomi dunia dikatakan nak meleset

Hari ini ada perjumpaan dengan orang yang aku hormati dan membuat aku segan2. Penting jugalah perjumpaan itu. Namun antara isi perjumpaan itu yang akan menyangkut berkenaan nasib umat manusia seluruh dunia, adalah berkenaan khabar tahun 2012 ini, ekonomi dunia akan gawat.

Aku tak pastilah bagaimana cerita ini timbul. Yang aku dengar, ada juga dua tiga kilang sudah berikan cuti tiga bulan kepada pekerjanya. Kalau permintaan dah kurang, dah tidak boleh menampung kos, buat apa nak berkilang2 lagi, buat sendiri jelah. Itu antara tanda kecil.

Kemudian, aku dengar juga yang ekonomi dunia gawat sebab ekonomi negara China dah sampai tahap nak meletup. Misalnya, belon kena tiup, lama2, meletup. Itulah ibarat ekonomi China. Kalau ekonomi China jatuh, satu dunia susah. Sebab ia akan jadik hukum domino. Sedangkan sekarang, China yang berada hujung domino dan China paling besar. Kalau jatuh, habis dihempapnya negara lain termasuk Malaysia.

Kalau nak cerita panjang, pening jugak nak explain. Senang cerita google. Sebab spekulasi itulah, sekarang semua orang dah berjaga2 bukan main. Kos sana sini kena potong Jimat sana jimat sini. Dan aku pun jadik risau.

Kemudian aku terfikir, ini baru spekulasi, belum terjadi lagi tapi semua dah start berjaga-jaga. Sedangkan berita berkenaan syurga dan neraka pula, bukan lagi spekulasi tetapi memang cerita betul dan asli, tapi aku boleh tak berapa nak risau.

Tanda2, hati terpaut dengan dunialah tu.

Ok, berbalik kepada cerita ekonomi dunia meleset, sebenarnya aku berharap sangat ia tak terjadi. Kalau aku bujang lagi, tak ada orang nak ditanggung, takda rumah kereta nak dibayar, memang aku tak kisah. Nak meleset sampai makan pasir pun aku boleh layan tidur lagi. Tapi, dengan keadaan sekarang, memang susah hati juga. Mujur motor dah habis bayar.

Kemahiran apa lagi yang aku ada bagi menghadapi keadaan yang paling buruk nanti. Bak kata orang putih, worse case scenario. Ewah. Hihihi. Kalau menulis buku sahaja memang susah, sebab orang beli buku menggunakan wang lebihan mereka. Maksudnya, baki wang mereka selepas bayar semua benda yang wajib macam makan, hutang dan tempat tinggal. Tapi kalau ekonomi meleset, ada lagi ke wang lebihan? Kalau ada pun mesti terus masuk bank sebab nak jadi backup nanti.

Jadi, bagi menghadapinya, semua orang perlu ada kemahiran sebagai backup. Kemahiran bagi buat duit lebih. Dan selepas fikir2, antara kemahiran asas yang aku ada dan semua manusia ada, adalah berdoa. Mana ada manusia yang tak pandai berdoa, cuma makbul dan tak makbul saja lagi. Tapi ikutkan kemahiran berdoa aku ini, sudah berkarat. Yalah, doa pun ada adab, ada serba serbinya. Aku terbaca tadi, ada ayat best, 'tunjukkan dirimu kepada Allah semasa kamu senang, supaya Allah tidak hilang daripada kamu ketika kamu susah.'

Haa... ketika aku senang, berapa banyak sangat aku 'tunjuk' diri kepada Allah? Itupun termasuk dalam check list semasa berdoa. Hmm...

Memanglah kalau berdoa sahaja, duit tidak terus ada dalam akaun bank, tetapi itukan memang dah diajar dalam Islam. Doa, usaha dan tawakal. Automatik, doa masuk kompenan penting bagi sesuatu kejayaan.

Oklah, doa kemahiran asas, selain itu, kemahiran fizikal? Ini yang merunsingkan aku. Tak banyak mana kemahiran fizikal yang boleh aku buat. Jadi, kembali kepada doa, semoga ekonomi tidak gawat. Aminn..

Aku pun dah tak tahu nak tulis apa. Mungkin tengah rungsing lagi.Arghh,,. Oklah. Makin aku menulis, makin melalut2 aku nanti.

Wednesday 18 January 2012

# 7- berbengkel-bengkellah kamu, sebelum kamu dibengkelkan

Petang tadi aku hantar motor pergi bengkel. Tukar minyak hitam. Waktu aku sampai, aku letak helmet, lihat kereta polis lalu depan aku, kemudian aku nampak budak Cina di bengkel itu senyum. Aku tengok mukanya, aku agak dia dah boleh ambil SPM. Mungkin dia termasuk dalam golongan pelajar tercicir. Tapi, kalau bengkel itu bapak dia yang punya, dia nak kisah apa. Last2, budak ijazah akauntan yang jadi kerani akaun kat bengkel tu. Tapi, itu kalau bapak dia yang punya bengkellah.

Sambil, berbengkel dengan baik dia cuba nak borak2 dengan aku, yang waktu itu asyik fikir, adakah bengkel itu bapak dia yang punya.

“Baru balik kerja?” Memang kekok betul bahasa Melayunya. Mungkin sebab itu dia tak belajar. Kot lah.

Aku angguk.

“Orang balik kerja, gua pun mahu balik kerja. Tapi waktu orang lain balik kerja baru boleh datang sini. Gua pula tak boleh nak balik”

Amboi dia ni. Mengadu pula susah hidupnya kat aku. Sebenarnya ada lagi dialog yang mengadu, tapi aku tak faham apa dia cakap. Aku rasa macam dengar dia cakap, “Esok PMR, aiya.. esok PMR.” Pelik jugak, apahal esok PMR? Jadi aku buat kesimpulan, yang aku salah dengar.

Mungkin sebab tengok muka aku konfius bukan main, terus dia berbengkel dengan bersungguh-sungguh.

Masa tunggu kerja dia siap, aku terfikir apa yang budak Cina tu cakap, sebenarnya selalu terjadi jugak kat aku.

Misalnya, aku takda duit, selepas tu kawan datang mengadu takda duit, jadi sama-sama takda duit. Tapi, salah seorang daripada kami perlu mengalah, dan beri pinjam atau belanja makan. Sama ada aku atau kawan aku tadi.

Itulah anehnya hidup. Terkadang kita cuma fikir masalah kita sahaja, dan kita fikir orang lain takda masalah yang sama, selepas itu kita datang kepadanya mengadu masalah kita, dengan harapan orang itu dapat selesaikan. Padahal, orang itu pun sama jugak masalahnya dengan kita.

Yang lagi aneh, orang itu dengan murah hati menyelesaikan masalah kita dan masalahnya terbiar begitu saja. Dan bertambah aneh, semua orang mengalaminya, cuma dalam takat yang berbeza2. Ada dalam masalah kerja, cinta, study, motor, duit dan apa2 jelah.

Yang selalu menjadi masalah adalah, apabila ada orang mengadu kat aku, terkadang mudah aku cakap, “Aku pun banyak masalah. Sama macam kau jugak.”

Bayangkan, budak Cina kat bengkel cakap macam tu kat aku, dia pun nak balik kerja, memang tak tukar minyaklah motor aku.

Aku boleh buat kesimpulan, kata-kata, “Kau asyik fikir masalah kau, masalah aku macam mana?” adalah agak bahaya. Kita tolong orang, orang tolong kita balik. Konsep nampak mudah, tapi konsep itu sebenarnya sangat susah apabila kita pun ada masalah seperti orang itu. Itulah yang menjadikan konsep itu mahal. Konsep yang sebenarnya mengajar, 'tolonglah orang walau susah manapun diri kau sendiri'.

Dan aku akui, untuk konsep itu, aku masih sangat gagal. Gagal segagal gagalnya. Terfikir jugak, apsal aku gagal? Mungkin sebab aku asyik lihat masalah aku sendirik sebelum nak tolong orang. Jadi selepas aku fikir2 lagi, konsep itu sebenarnya lebih tepat kalau berbunyi, 'kau tolong orang, Allah akan tolong kau'. Dan sekali lagi nampak indahnya Islam, pasal memang dah jelas perkara itu.

Apa yang aku perlu buat, kalau nak tolong orang terus niat nak dapat pertolongan Allah. Yalah, level aku ni pun level orang awam, bukan level ulama atau wali, jadi wajarlah niat aku itu. Semoga selepas ini aku akan rajin tolong orang, bukan sebab nak orang lain tolong aku, tetapi supaya pertolongan Allah tidak hilang daripada hidup aku.

Selepas motor aku siap, aku terus start dan selepas 50 meter baru aku perasan, aku tertinggal helmet di kedai. Patutlah kepala rasa ringan. Nasib baik teringat, dan nasib baik kereta polis dah lalu awal tadi. Haa...

Tuesday 17 January 2012

# 6 - Majlis2 Sastera

Aku ada terbaca di Berita Harian berkenaan, majlis sastera yang jarang dihadiri oleh penulis genre popular (novel cinta lah tu). Contohnya, Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2011. Aku mahu tak mahu terpaksa juga mengaku, secara tidak rela digolongkan dalam penulis genre popular, walaupun aku menulis novel remaja sahaja. Yalah, dah aku tak menulis untuk DBP dan Utusan, automatik aku jadi penulis novel popular. kah kah kah. (Aku tahu, pengketegorian ini sangat lemah asasnya, tapi itulah. haha)

Aku memang dapat undangan, dan malangnya hari itu aku sangat berhalangan besar. Jadi tidak hadir. Malah banyak majlis2 sastera yang lain pun aku tak hadir, atas kapasiti itu juga. Orang kerja swasta, selepas itu menulis seperti aku memang masa tidak banyak. Hari Sabtu Ahad sahajalah masa untuk menulis dengan bersungguh2, selain itu, aku perlu bekerja bersungguh2. Mana yang sempat tu, aku datang jugalah.

Jadi, aku fikir antara sebab penulis novel popular kurang nak hadir majlis sastera, adalah ada fikiran bawah sedar yang menghalang. Biasanya majlis2 sastera pasti ada ungkapan ini, "Asyik2 novel cinta, asyik2 novel air mata." Ataupun, "Kita perlukan novel yang punya gagasan yang besar bla bla bla."

Tidak salah dengan ungkapan2, itu tetapi sebagai manusia, penulis novel popular mestilah terasa juga. kah kah kah. Mungkin secara tidak sedar, ada anggapan, "Untuk apa aku datang, kalau asyik nak kena hentam." Dah tahu di situ ada duri, buat apa nak berjalan ke sana.

Tapi, ini cuma agakan kasar sahaja. Janganlah jadikan ini hujah pula. Cuma aku terfikir, mungkinkah ini antara sebabnya?

Lalu apa penyelesaiannya? Aku tak tahu apa penyelesaiannya. Mungkin boleh buat tesis khas pasal perkara ini. ewah

# 5 - pedih terkena air

Tadi, kuku anak jari kaki aku terkopek. Pasal tertendang pallet. Ok, belum terkopek sepenuhnya tetapi cukup2 lah buat darah membuak2 keluar. Hmm... membuak2 terasa seperti keterlaluan pulak. hahaha. Belum sampai membuak-buak, tapi memang banyaklah darah keluar.

Salah aku jugak, sebab tertendang tanpa pakai kasut. Yalah, waktu tu baru lepas ambil wuduk. Jadi teori aku, selain aku tertendang kuat, kuku kaki aku juga jadi lembut lepas kena air, itu yang rapuh sikit. Lagipun akhir2 ini aku jarang makan sayur, jadi kuku kurang kuat. Itulah teori aku jelah.

Inilah jenis pallet yang aku tertendang. Gambar daripada Wikipedia.

Seperti biasa, pada saat kena sakit, automatik ingat kepada Tuhan menjadi dua kali ganda. Terus teringat pada suruhan yang dibuat endah tak endah, dan larangan yang dilanggar. Namun, mujur juga sebenarnya. Sebab pada ketika terus teringatkan betapa berdosanya diri ini, sakit kaki tadi jadi seperti agak kurang. Tak taulah pulak time tidur nanti bagaimana. Mesti berdenyut-denyut.

Jadi, secara tak sedar, kat sini dah nampak indahnya Islam itu sebagai sebuah agama, sebagai sebuah cara hidup. Islam, walaupun manusia itu sakit, walaupun ditimpa malang sekalipun, manusia tetap mendapat motivasi.

Macam akulah. Yang terus ingat Tuhan sebanyak dua kali ganda. Terus dapat motivasi bagi merenung balik apa yang sudah apa aku perbuat, dan seterusnya mendapat motivasi bagi menjadi orang yang lebih baik selepas ini.

Namun selepas aku fikir2, betapa ruginya aku. Aku sebenarnya mendapat motivasi, bukan kerana sakit itu, tetapi kerana aku lebih fokus kepada ingat Allah. Bayangkan, orang yang setiap hari dan setiap saat ingat Allah sebanyak berganda-ganda, yang lebih fokus, betapa besarnya motivasi mereka bagi membuat kebaikan dalam hidup.

Kebaikkan mereka bukan setakat akhirat, malah dunia pun mereka dapat. Mungkin secara umumnya, aku boleh buat kesimpulan, asas motivasi dalam Islam adalah fokus semasa ingat Tuhan. Atau bahasa sedapnya, khusyuk. Selagi belum mampu khusyuk, selagi itu motivasi belum cukup dalam. Iyalah kot. Mungkin ustaz2 di luar sana ada lebih banyak penjelasan.

Monday 16 January 2012

# 4 - lambang

Di Indonesia, dimaklumkan, apa sahaja kenderaan yang memasuki jalur bas (busway - boleh google) akan disembur dengan cat pylox. Entahlah cat apa, tetapi itu hukuman yang boleh dikatakan agak ngeri bagi pesalah jalan raya. Di Indonesia, memang ada jalan khas untuk bas dan kenderaan lain tidak boleh melaluinya. Ia adalah cara berkos murah bagi mengurangkan jem berbanding membina lrt.

Anehnya, untuk aku, kedengaran hukuman kena sembur cat itu lebih ngeri daripada saman. Bayangkan, kalau kereta yang baru di wax tadi tiba2 kena sembur cat? wooo.... boleh sakit jiwa dibuatnya. Aku fikir, ini bagus juga dipraktikkan di Malaysia, khusus kepada mat rempit. Dapat sahaja motor mereka, terus sembur cat pink. Memang lagi sakit daripada jatuh motor.

Jadi, apa sebenarnya yang membuat manusia takut nak buat salah lagi? Ok, kita boleh kata sebab kereta ataupun motor itu barangan berharga, jadi kalau disembur cat, ia 'rosak'.

Jadi, jelas manusia sebenarnya takutkan perkara yang 'rosak'. Kalau saman, manusia yang takut pada saman, adalah manusia yang takut dompetnya 'rosak'. Kalau orang kaya, apa adahal. Tak luak. Jadi selain 'rosak' harta, 'rosak' imej pun ia juga. Iyalah, zaman sekarang cara paling mudah menampakkan imej adalah melalui kenderaan yang kita guna.

Orang guna kereta Honda, Merc, BMW, VW dsd, semuanya melambang sesuatu. Lambang orang kaya, lambang orang sofisikated, lambang orang MLM, lambang kaki lumba, dsd. Lalu hanya dengan sedikit semburan cat, semua 'perlambangan' itu akan rosak.

Jadi, hukuman yang 'merosakkan perlambangan' itu memang sangat perit. Lalu untuk uncle2 yang gunakan kereta buruk, dan langsung tidak kisah berkenaan 'lambang', hidup mereka akan tenang.

Itu baru cerita lambang fizikal. Lalu bagaimana dengan 'lambang' yang memang sudah kita letakkan pada kerjaya kita, jawatan kita, lambang yang kita lekatkan secara lisan pada tubuh kita.

Hairan jugak aku, sebab biasanya aku beri nasihat, "Belajar rajin2 ya. Ingat sikit, kamu belajar lagi, jangan buat macam-macam." Kemudiaanya ada orang beri aku nasihat, "Tulis yang elok-elok. Kamu itu penulis novel remaja."

Aku terfikir, mengapa perlu lambang 'pelajar', 'penulis', 'doktor', 'ustaz' dsb yang terlalu dijulang? Mengapa tidak cakap sahaja, "Belajar rajin2, kamu itu orang Islam." Atau, "Tulis yang baik2, sebab kau orang Islam."

Jadi, aku yakin, untuk hidup lebih tenang, boleh usahakan membuang apa-apa yang tidak perlu, kerana hidup manusia ini cukup hanya dengan satu 'lambang' sahaja. Iaitu, agama masing2. Orang Islam, lambangnya Islam. Dan apa sahaja perbuatan yang merosakkan 'lambang' Islam itu, sepatutnya manusia tadi berasa susah hati, bukannya susah hati pada lambang fizikal dan lisan tadi.

Ok, aku sebenarnya cakap pasal diri aku, sebab selepas aku periksa, bukan main banyak lambang lagi yang aku lekatkan kepada diri aku. Lambang 'cool', lambang 'penulis novel yang nak beri nasihat', lambang, 'mat motor yang baik', dsd. Lambang sebagai orang Islam juga yang aku buat2 tak endah. Malu2. 

# 3 - aerosol berasaskan air

Aku ada beli aerosol berasaskan air jenama Family. Memang agak pelik jenamanya. Dan sebagai jenama yang agak pelik, ia automatik berharga murah. Siap percuma 300ml.

Selain murah dan percuma 300ml, aku beli aerosol itu sebab ada keyakinan dalam diri aku, ia lebih bagus untuk kesihatan. Yalah, berasaskan air. Takkan saja-saja nak buat berasaskan air kalau ia tak tujuan kesihatan. Tapi itu cuma agakan aku. Nak lebih lanjut boleh google.

Tujuan aku beli aerosol ini, kerana entah bagaimana sudah jadi hobi aku membunuh nyamuk. Setiap kali sembur, aku boleh nampak nyamuk2 berguguran. Dan perasaan 'menang' terus masuk dalam diri aku. Sepertinya nyamuk itu jahat sangat.

Jadi, pada hari pertama aku guna aerosol Family, aku sembur ke sana sini, apa yang aku nak jadi, tidak terjadi. Nyamuk boleh terbang seperti biasa. Seperti tidak ada apa-apa terjadi. Kalau jatuh pun, itu pun sebab kena semburan aerosol, dan selepas itu terbang balik.

Terus aku yakini, yang aerosol berasaskan air, racunnya tak berapa kuat. Sebab itulah ia bagus untuk kesihatan. Nyamuk pun tak mati, apatah lagi manusia. Kecewa juga, sebab dah terbeli. Nak beli yang baru, rasa sayang pula.

Sehinggalah semalam, barulah aku perasan. Semasa tidak sengaja mengoncang-goncang botol aerosol, aku terdengar seperti bunyi guli di dalamnya. Aku goncang2 lagi, dan sah memang guli. Aku terus baca label, aerosol. Jelas di situ tertulis GONCANG SEBELUM GUNA.

Patutlah nyamuk tak mati2, rupanya aku salah cara guna aerosol. Dan tadi, selepas aku menggunakannya dengan cara yang betul, barulah rasa 'menang' datang balik dalam hidup aku. Puas hati aku kumpul nyamuk2 yang mati.

Tahu jugalah aku, aerosol berasaskan air ini rupanya perlu digoncang dulu sebelum guna. Pengajaran paling utama, apa-apa perkara dalam hidup, aku perlu baca terlebih dahulu manualnya.

Sekarang, ada masalah besar pulak datang. Aku terpaksa semak balik semua perkara yang aku buat dalam hidup aku. Mengapa ia tidak terjadi seperti yang aku rancang. Adakah aku sudah baca 'manual' nya? Aku yakin, setiap perkara dalam hidup ada 'manua;' masing2, dan terpulang kepada kita bagi mencarinya. Hmmm...Risau aku. Sudah berapa banyak perkara dalam hidup aku buat hanya berdasarkan 'agak2', tanpa membaca 'manualnya'.

# 2 - Kerana masih teruja ada blog baru

Mari pula berkisah berkenaan kereta. Sesuatu yang sangat memeningkan berkenaan kereta, ia mudah tercalar. Yang lebih pening daripada itu, adalah kos bagi membaiki selorek calar itu, waaaaa..... memang C#%@#$. Yang lagi-lagi aneh daripada semua itu adalah, mengapa aku terlalu kisah dengan kereta yang calar?

Tidak ada apa-apa sebenarnya. Sekiranya enjin masih ok, masih boleh hidup, boleh dibawa ke sana-sini, ia masih tidak ada apa-apa. Namun, hanya kerana calar, mengapa hati jadi tidak enak.

Jadi, mudahnya aku fikir, hati aku ini sudah terpaut kepada dunia. Lalu hanya dengan sedikit calar pun, aku sudah berasa tidak selesa. Bermakna juga betapa banyaknya bintik hitam pada hati sehingga terhijab kepada perkara yang lebih benar dan lebih wajar untuk dirisaukan. Bukan sekadar pada calarnya kereta.

Jadi, aku fikir, pada setiap kali kereta aku calar, perkara pertama yang aku perlu buat bukanlah ke bengkel cat, tetapi ke surau untuk 'membengkel' hati aku. Supaya, tidak terlalu gusar sehingga tidak ada mood membawa kereta. Tetapi entahlah, aku masih kurang yakin dengan jalur berfikir aku ini.

Hmm... apa-apa jelah.

Blog baru yang bercerita sehari-hari

Saya suka bercerita apapun. Kisah realiti sehari-hari untuk jadi ingatan, dan kisah fiksyen entah dari langit mana, juga untuk sebagai ingatan. Sehinggalah pada suatu hari, blog saya yang satu itu, dingin.blogspot sudah tersudut pada satu tujuan, bagi menuliskan kisah-kisah fiksyen. Sekiranya mahu menuliskan realiti sehari-hari, jari saya tertahan-tahan, dan bukanlah sesuatu yang enak untuk itu. Maka inilah, blog kisah sehari-hari, bagi berkisah berkenaan realiti. Terimalah apa adanya, sekadarnya, seadanya.

Lalu kisah hari ini, kisah berkenaan kecewanya saya dengan android. Juga betapa cemburunya saya dengan apple.

Membeli telefon android yang hardware sangat berkuasa, memang sangat-sangat bahagia. Semuanya serba-serbi laju, cerah dan tajam skrinnya, dan kamera yang jelas. Sehinggalah kamu sedar, aplikasi android masih yang itu-itu juga. Semua itu menjadi tidak bermakna.

Membandingkan dengan aplikasi yang boleh dimuat turun oleh apple, aduhhh... kecewa. Mungkin perlu satu dua tahun lagi untuk android bagi bersaing. Misalnya, aplikasi yang terbaru ini. Mungkin satu dua bulan lagi baru boleh didapati pada android, dan pada ketika itu, keterujaan mungkin sudah menurun. Ya, itulah kata kuncinya, keterujaan. Dan apple buat masa sekarang, berjaya mendahului keterujaan itu.

Tetapi itulah letak punca anehnya hidup. Secara rasional, sebenarnya perkara itu bukanlah apa-apa. Hanya kehendak yang sangat-sangat kecil, bukan keperluan. Namun, mungkin kerana sifatnya yang hanya 'keperluan yang sangat-sangat kecil', maka elemen 'keterujaan' itu memainkan peranan sangat besar.

Sekiranya sahaja, ia adalah bersifat keperluan, pasti tidak timbul soal teruja, kerana saya memang memerlukan perkara itu, dan bagaimana bentuk perkara itu datang kepada saya, saya pasti terima, kerana itu adalah keperluan.

Mungkin dalam hidup, perlu saya melihat begitu. Apa sahaja yang saya buat, dan jelas, kepada novel-novel yang saya tulis, untuk orang lain, ia belum mencapai tahap keperluan, dan cuma tahap kehendak. Maka, saya perlu menyuntik elemen keterujaan, supaya tercipta realiti semu, kehendak yang kecil tadi terlihat besar.

Sama kes, kecewanya saya dengan android yang belum ada aplikasi movie action fx (sehingga setakat entri ini ditulis). Lalu nikmati sahajalah video aplikasi ini, hasil kerja tangan kreatif sahabat saya, Tuan Alif Firdaus Azis, menggunakan aplikasi itu. Yeah.