Followers

Tuesday 21 February 2012

# 17 - Gembira yang wasatiyah

Pernah rasa gembira? Yes, aku paling tidak suka rasa gembira yang melampau2. Sebab aku akan komen semua status orang di facebook. Esoknya aku bangun dan baca balik, aku akan cakap, "bodonya.... apsal lah aku tulis macam tu."

Ya, perasaan gembira boleh lead diri aku kepada perasaan kebal dan tidak ragu-ragu yang akhirnya akan memakan diri sendiri. Betullah, wasatiyah juga yang bagus. Aku nak berlatih gembira yang wasatiyah.

Arghhh...

Sunday 5 February 2012

# 16 - Novel yang mengajak pembaca berfikir adalah novel....

Nota: Saya tidak tahu mahu letak tajuk apa sebab saya malas mahu menyusun idea, dan ini menjadikan entri ini sangat caca marba. Walau bagaimanapun, sebab cuti maka saya rajin buat self censorship pada bahasa dan ejaan supaya tidaklah terlalu kasar. Sayangnya, self censorship saya tidak buat pada struktur dan idea. hehehe


___________________________________________________________________________________

Saya dimaklumkan, novel yang bagus adalah novel yang mempunyai pemikiran yang kuat. Cuma saya tidak pasti ke arah mana 'pemikiran' itu akan pergi, adakah 'pemikiran' itu mengarah kepada 'jawapan', ataupun 'pemikiran' mengarah kepada 'berfikir'.

Saya juga dimaklumkan, bahawa novel yang bagus adalah novel yang 'menjawab' segala permasalahan masyarakat, cuma sekali lagi saya kurang pasti, adakah 'menjawab' itu dalam bentuk memberi 'jawapan' ataupun memberi 'berfikir'.

Yang mana satu lebih atas antara 'jawapan' dan 'berfikir'? Mungkin boleh kata-kata orang bijaksana yang saya lupa nama ini, dijadikan hakim.

Katanya, “Orang yang pandai adalah orang yang boleh menjawab soalan dengan betul, tetapi orang yang bijaksana, adalah orang yang boleh memberi soalan yang tepat.”

Jelas, novel yang punya 'pemikiran', novel yang 'menjawab', sekiranya berakhir dengan 'jawapan', maka ia belum mencapai taraf novel yang paling atas, kerana yang paling atas adalah 'berfikir'.

Malah Al Quran sendiri, ada berapa banyak ayat yang berakhir 'tidakkah kamu mahu berfikir?' ataupun 'supaya kamu berfikir'.

Jelas, berfikir itu sangat tinggi.

Yang menjadikan perkara tidak jelas adalah, bukan semua perkara boleh diiktiraf sebagai 'berfikir'. Tidak pasti bagaimana ia bermula, tetapi dalam novel, 'berfikir' itu ditakrifkan sebagai sesuatu yang perlu bersifat politik ataupun jiwa manusia yang kosong. Mungkin novel itu, novel cinta tetapi ia tetap perlu menyinggung hal politik atau jiwa kosong, sama ada menulis berkenaan penentangan, perjuangan, sejarah, idea baru, gila, pencarian, ataupun mempertahankan. Itulah definisi novel 'berfikir'.

Padahal, 'berfikir' itu sendiri sangat luas asalkan ia tidak bersangkutan dengan 'berfikir' bagi memenuhi nafsu, dan sekiranya manusia itu sekadar 'berfikir' daripada mana datang kasutnya sendiri pun, sudah menjadikan dia manusia yang 'berfikir'.

Tetapi tidak mengapalah. Ikut sahaja mana pendapat yang popular.

Jadi, semua penulis yang bercita-cita baik, berusaha menulis novel yang membuatkan orang berfikir. Dengan harapan orang yang membacanya akan berfikir, dan dengan fikiran mereka, kehidupan di dunia menjadi lebih baik. Lalu di sinilah situasi itu tidak memihak.

Semua tahu, pekerjaan yang paling mahal gajinya adalah 'berfikir'. Jadi, sekiranya 'berfikir' itu mudah, adakah ia akan dibayar mahal?

Manusia ini, hendak memikirkan masalahnya sendiri pun tidak mahu, apatah lagi sekiranya disuruh 'berfikir'. Lebih parah, apabila mereka disuruh berfikir melalui bacaan. Lagilah mereka ragu-ragu.

Baiklah, untuk lebih adil, tidak semua manusia begitu. Dalam 1000 orang, mungkin ada 10 orang yang suka berfikir, tetapi untuk yang suka berfikir, mereka bukan lagi 'masalah' kerana mereka sudah dapat berfikir. Misalnya juri sayembara, sasterawan2 dan para intelek.

Tetapi bagaimana dengan nasib majoriti tadi? Itulah cabaran sebenar penulis. Menuliskan novel yang membuatkan pembaca berfikir, tidaklah sesusah, bagaimana mahu memujuk pembaca tadi membaca novel yang membuatkan mereka berfikir. Ini kerana berfikir itu ada ceritanya sendiri.

Manusia sengsara bukan kerana masalah, tetapi kerana terpaksa berfikir. Jadi bagi tidak mahu berfikir, mereka minum arak, dadah, bunuh diri. Lalu mereka yang suka berfikir, semakin banyak masalah, semakin mereka bersemangat.

Atas sebab itulah, novel2 cinta sangat laris, kerana novel begini menuruti kehendak manusia yang majoriti tadi, iaitu kurang mahu berfikir. Mereka lebih suka mendatangi emosi, kerana emosi itu nikmat.

Adakah salah mereka? Bukan salah mereka, tetapi memang itulah fitrah. Apa sahaja yang menguasai hati itu sangat indah. Cinta misalnya, sekiranya digunakan fikiran bagi menikmatinya memang tidak terasa nikmatnya. Hanya hati yang boleh merasai nikmatnya. Iman juga begitu, hanya dengan hati ia terasa kemanisannya. Sebab itulah, ramai yang hairan, mengapa ada cerdik pandai agama masih berbuat dosa besar, ini kerana mereka meletakkan pengetahuan berkenaan iman pada fikiran, bukan pada hati.

Namun, bagi mewujudkan perkara yang betul dan indah dalam hati, ia tetap perlu bermula daripada fikiran, dan untuk itu, manusia perlu berfikir.

Bagaimana mahu menyuruh mereka membaca novel yang membuatkan orang mahu berfikir?

Berfikir itu sangat bahaya, sekiranya tidak cukup ilmu. Jadi berapa banyak manusia yang kita lihat di sekeliling kita, oleh kerana suka berfikir tetapi tinggi fikirnya tidak selari dengan ilmunya, membuatkan dia sesat. Malah ada yang jadi gila.

Itulah yang perlu diperhatikan penulis. Adakah novel yang dituliskan itu, hanya mengandungi 'berfikir' ataupun turut menyediakan ilmu bantu ke arah 'berfikir' itu. Penulis perlu bertanggungjawab ke arah itu, takut nanti novel hanya melahirkan pembaca yang 'sesat', semakin jauh pula daripada agama.

Lalu, kehadiran banyak novel yang bersifat tempelan, bersifat dadaktik adalah sangat perlu. Mungkin sahaja, ia dikecam kerana tidak memberikan sensasi 'berfikir' kepada pembaca, tetapi ia lebih bertanggungjawab 'menyediakan' pembaca kearah pekerjaan yang bahaya tadi, iaitu berfikir.

Mengapa perkara begini nampak perlu? Hanya dengan tempelan nasihat, ayat suci dan hadis yang mampu membuatkan manusia berasa dirinya jahil. Itulah yang penting, kerana dengan menyedari kejahilan sendiri, ia adalah langkah terbaik kepada pengetahuan. Pengetahuan di sini bukan sekadar bermaksud kita tahu tentang sesuatu perkara, tetapi yang lebih besar daripada itu ialah, kita tahu di mana kita boleh mendapat maklumat berkenaannya.

Di sinilah perlunya penulis memahami evolusi pembaca. Bukan penulis sahaja yang akan berevolusi dengan penulisan, tetapi pembaca juga akan ikut berevolusi. Semua manusia, bermula dengan membaca, ABC, kemudian membaca cerita kanak2 berkenaan pari2, dongeng, kemudiannya kepada kisah remaja dan seterusnya sehinggalah mereka meningkat dewasa.

Evolusi pembaca bukan berdasarkan umur. Sekiranya umurnya 30, dia perlu membaca novel2 begini dan begitu. Tetapi evolusi berdasarkan usia pembacaannya. Sekiranya sejak dari darjah dua sudah membaca novel remaja, darjah lima sudah membaca novel sasterawan, maka semakin cepat dia berevolusi.

Mungkin ada berkata, mengapa makcik2 suka membaca novel cinta, adakah mereka tidak berevolusi? Mereka berevolusi tetapi, evolusi bukan berkenaan mengubah kegemaran, tetapi mengembangkan kegemaran itu. Mungkin sahaja, selain novel cinta mereka juga membaca kitab2 dan novel sastera yang berat. Walaupun, mungkin sahaja, ada evolusi yang gagal, tetapi itu sangat jarang.

Sekiranya sudah sampai pada tahap itu, bagi mereka yang benar2 mahu berubah, mereka akan pergi ke arah pengetahuan itu. Pada ketika pengetahuan sudah mereka peroleh, sensasi membaca juga berubah. Mereka mahu yang lebih daripada sekadar novel yang biasa. Mereka mahu novel yang membuatkan mereka 'berfikir'.

Di sinilah fungsi novel 'berfikir' tadi. Ia berfungsi sebagai evolusi pembacaan. Tetapi ia bukan evolusi terakhir. Tetapi ia bersifat memprovokasi pengetahuan mereka tadi, membuatkan mereka terus meningkatkan daya 'berfikir', dan semakin mereka berfikir, mereka semakin berasa 'lapar' pada pengetahuan. Sama ada mereka terus ke sumber primer, dengan turun ke lapangan mengkaji sesuatu isu, ataupun terus kepada sumber sekunder iaitu buku akademik dan jurnal, novel 'berfikir' tadi sudah melengkapkan evolusi seorang pembaca tadi, menjadi seorang yang mahu 'berfikir'.

Jadi, di tahap mana pun novel itu, selagi mana ia bukan novel memberi dosa, ia tetap sama pentingnya dengan novel yang dikatakan novel 'berfikir', kerana ia melengkapkan evolusi pembaca. Adalah sangat tidak wajar, melihat novel2 yang dikatakan tempelan, yang dikatakan tidak sastera sebagai sesuatu yang rendah, kerana ia tetap berada dalam barisan yang sama.