Followers

Sunday 29 January 2012

# 15 - Ini semua politik dunia penulisan.

Bercerita berkenaan menulis, kalau anda fikirkan mahu menulis untuk sesuatu genre, bermakna anda sudah menetapkan langkah anda untuk melalui jalan itu. Misalnya, nak pergi rumah ketua kampung, guna jalan sungai, jalan sungailah yang anda akan lalui.

Mudah? Ya, memang mudah sekiranya nak pergi ke rumah ketua kampung, sebab definisi sungai itu mudah. Bezanya kalau dalam menulis, kalau anda kata nak ikut jalan sastera, bersedialah untuk pening. Sastera itu sendiri macam2 definisi. Yang belah itu kata sastera itu begini, yang belah sini kata sastera itu begitu. Semuanya nak betul.

Jadi mana satu yang betul? Kalau nak pergi ke rumah ketua kampung, mana satu yang penting, jalannya atau destinasinya?

Mula2 mestilah destinasinya, iaitu ke rumah ketua kampung sebab di sana ada kenduri. Bagaimana kalau destinasi kita nak ke rumah ketua samseng sebab kat sana ada jual nombor ekor? Mestilah itu bukan destinasi yang elok ya, tuan2 dan puan2. Semua tau judi itu haram di sisi agama Islam, bukan setakat di sisi malah di tengah, di atas, di bawah, ikut celah manapunlah, tetap haram.

Tapi takkan semua orang nak ke rumah ketua kampung? Mana yang remaja sikit tu, mungkin pergi ke rumah kawan nak belajar berkumpulan, atau pergi ke muzium, pergi ke air terjun, pergi ke kedai beli barang. Itu semua destinasi pilihan masing2. Janganlah pulak kita nak marah apsal dia tak pergi kenduri ke rumah ketua kampung. Mungkin ketua kampung tak jemput, atau bapak dia dah pergi, jadi buat apa nak pergi lagi, atau belum sampai seru.

Selepas itu, kita borak pulak pasal jalan. Boleh ikut jalan sungai, jalan darat, naik basikal, dan naik bas. Katakan semua jalan boleh sampai ke sana, jadi semuanya jalan betul. Nampak mudah? Sekali lagi nampak mudah sekiranya kita memang nak pergi ke rumah ketua kampung melalui jalan yang benar.

Bagaimana kalau nak pergi ke rumah ketua kampung ikut bumbung rumah orang? Kalau tuan rumah izinkan tidak ada masalah, masalahnya Tuan rumah mana yang nak izinkan. Berdosa tak kita? Anda jawab sendiri.

Walaupun semua jalan ke rumah ketua kampung betul, tapi kita tetap tertakluk pada peraturan dosa pahala. Mana boleh ikut bumbung rumah orang, mana boleh pergi dengan curik perahu orang atau naik bas tak bayar tambang.

Begitu juga dalam menulis. Destinasi itu yang menjadi tujuan utama. Jadi, kalau niat anda menulis bagi menyedarkan orang Melayu betapa banyaknya peluang kerja, atau menyedarkan umat Islam betapa lemahnya mereka sekarang, jadi itu tidak ada masalah. Atau mahu menyedarkan perempuan bahawa cinta sebelum kahwin itu banyaknya tak jadi, Eloklah tu. Jangalah pula nak menulis bagi mengatakan orang Melayu itu tak gosok gigi atau berjudi itu tidak haram tetapi makruh. Itu namanya, matilah anda.

Ada juga yang menulis, destinasinya tidaklah besar mana, setakat mahu hiburkan anak remaja, mahu bercerita berkenaan perkara2 kecil, cerita itu cerita ini. Itu pun tidak mengapa asalkan ia tidak dapat dosa. Nanti seiring usia, dia pandai2 lah tulis benda yang besar2 pula. 

Selepas itu jalan ke arah 'destinasi' itu bagaimana? Anda nak bersastera Islami, bersastera transedantel, nak bersastera pop, barat, jepun, korea, bersastera itu ini begitu begini, tidak ada masalah asalkan tidak menyangkut pada perihal dosa.

Jalan terus. Jangan peduli cakap2 orang. Kerana dalam dunia, setiap perkara akan ada penyokongnya. Misalnya, ada yang suka ikut jalan sungai, selepas tu mereka cakap, “Jalan sungai adalah jalan yang penuh hikmah, melalui alam. Jalan darat bukan jalan yang benar, apatah lagi kalau naik basikal, Itu menyimpang.”

Mungkin dia cakap jalan sungai bagus, sebab dia nak kita sewa sampannya, atau guna basikal bagus sebab nak kita beli basikal kat kedainya. Atau sebab hanya jalan itu sahajalah dia tahu. Dari kecik sampai ke tua, dia cuma tahu naik bas. Mendayung, berbasikal langsung tak pernah.

Nampak?

Dalam dunia penulisan juga begitu, semua bertengkar berkenaan 'jalan' hendak 'ke sana'. Jalan ini lebih sastera, jalan ini lebih untung, jalan ini lebih romantik dan macam2 lagi.

Kalau anda baru hendak menulis, masih pening, beginilah, ikutlah jalan mana yang anda suka. Ada yang suka berenang, ikut jalan sungai, ada yang nak diet, kayuhlah basikal. Ada yang kaya, naiklah kereta. Kemampun kita berbeza2. Asalkan, apa tadi? Asalkan tidak berdosa.

Begitu juga dalam penulisan, bakat kita berbeza2 tahapnya. Manalah semua orang mampu nak tulis bunga2. Manalah semua orang nak tulis kelakar, mana lagi nak tulis romantik2 dan begini begitu.

Apa yang perlu kita lakukan, adalah kalau rakan kita cakap nak pergi rumah ketua kampung, dia nak naik basikal. Biarkan, ikut suka hati dialah. Cuma kalau dia naik basikal, tapi ikut jalan sungai, kenalah tegur. Kalau dia naik basikal, tapi jalan itu tak menuju ke rumah ketua kampung tapi menuju ke gua Niah, kena tegur juga. Kalau naik basikal, ikut bumbung rumah orang, pun kena tegur. Walaupun kita ini tak suka naik basikal kerana lebih gemar mendayung, tapi part2 begitu kena tegur.

Itu perkara2 yang patut ditegur, bukannya, “Kau naik basikal memang tidak sesuai. Basikal kau guna kebudak-budakan. Mana ada orang naik basikal dah zaman ni.”

Nampak?

Perkara utamanya, kalau anda dah pilih jalan itu, pilih destinasi itu, jalan terus. Pedulikan kata2 orang lain yang kata naik basikal itu bangang. Cara paling bodoh nak ke rumah ketua kampung atau apa sahaja.

Yang penting, anda berbasikal kerana itu sahaja kemampuan anda, dan minat anda. Asalkan tidak dapat dosa, jalan terus.

Perlu juga diingat, sekiranya anda sudah pilih jalan itu, perlu ikut peraturannya. Kalau pilih jalan sungai, kenalah naik sampan, rakit atau berenang. Jangan nak berbasikal pulak. Atau guna bas kat sungai. Matilah anda.

Begitu juga dalam dunia penulisan. Ada banyak syarikat, ada banyak institusi, kena ikut cara2 dan syarat2 mereka. Jangan nak tulis begini dengan syarikat yang tak suka cara itu, dan jangan tulis begini dengan syarikat yang tak suka begini. Kalau tak, matilah anda.

Jadi, semuanya kembali kepada diri sendiri. Banyakkan tanya orang, ikut jalan mana paling bagus nak ke rumah ketua kampung. Kalau tanya orang suka mendayung, katanya, “Ikut sungai bagus.” Kalau tanya budak basikal fixie, pasti naik basikallah sedap.

Itulah dunia penulisan. Kita menuju ke satu destinasi ikut bakat, ikut minat, ikut kemampuan kita, selagi mana ia tidak membuatkan kita berdosa. Mungkin jugalah apa yang kita tulis tidak dapat pahala, tapi sedaya upaya elakkan dapat dosa.

Ikut jalan mana? Ikutlah mana2. Kalau nak bertengkar jalan yang ini bagus, jalan yang itu bagus, tidak ada masalah. Bertengkarlah. Cakaplah, “Jalan sungai memang bagus sebab kalau haus boleh minum air sungai. Kalau naik bas, kau nak minum apa?” Biar ada fakta.

Tetapi jangan sesekali cakap, “Hanya jalan sungai sahaja jalan yang paling betul, paling benar, paling unggul dalam dunia ini.”

Itu zalim dan kejam namanya kerana kita tidak adil. Semua tahu, maksud adil, meletakkan sesuatu pada tempatnya, dan usah letakkan seorang penulis dengan bakat yang sedia ada itu, pada jalur penulisan yang dia tidak mampu. Itu tidak adil untuknya.

Perlu juga diingat, terkadang nak ke rumah ketua kampung, mula2 kena naik perahu lepas tu, naik basikal, akhir sekali naik bas. Sebab memang dah jalannya begitu atau ada orang yang suka advancer. 

Oklah, yang lagi lagi penting, mulakan berjalan ke rumah ketua kampung. Kalau asyik bertengkar kat rumah sendirik jalan itu bagus, jalan ini bangang, memang tak sampailah ke rumah ketua kampung.

Marilah berjalan.

1 comment: