Followers

Wednesday 18 January 2012

# 7- berbengkel-bengkellah kamu, sebelum kamu dibengkelkan

Petang tadi aku hantar motor pergi bengkel. Tukar minyak hitam. Waktu aku sampai, aku letak helmet, lihat kereta polis lalu depan aku, kemudian aku nampak budak Cina di bengkel itu senyum. Aku tengok mukanya, aku agak dia dah boleh ambil SPM. Mungkin dia termasuk dalam golongan pelajar tercicir. Tapi, kalau bengkel itu bapak dia yang punya, dia nak kisah apa. Last2, budak ijazah akauntan yang jadi kerani akaun kat bengkel tu. Tapi, itu kalau bapak dia yang punya bengkellah.

Sambil, berbengkel dengan baik dia cuba nak borak2 dengan aku, yang waktu itu asyik fikir, adakah bengkel itu bapak dia yang punya.

“Baru balik kerja?” Memang kekok betul bahasa Melayunya. Mungkin sebab itu dia tak belajar. Kot lah.

Aku angguk.

“Orang balik kerja, gua pun mahu balik kerja. Tapi waktu orang lain balik kerja baru boleh datang sini. Gua pula tak boleh nak balik”

Amboi dia ni. Mengadu pula susah hidupnya kat aku. Sebenarnya ada lagi dialog yang mengadu, tapi aku tak faham apa dia cakap. Aku rasa macam dengar dia cakap, “Esok PMR, aiya.. esok PMR.” Pelik jugak, apahal esok PMR? Jadi aku buat kesimpulan, yang aku salah dengar.

Mungkin sebab tengok muka aku konfius bukan main, terus dia berbengkel dengan bersungguh-sungguh.

Masa tunggu kerja dia siap, aku terfikir apa yang budak Cina tu cakap, sebenarnya selalu terjadi jugak kat aku.

Misalnya, aku takda duit, selepas tu kawan datang mengadu takda duit, jadi sama-sama takda duit. Tapi, salah seorang daripada kami perlu mengalah, dan beri pinjam atau belanja makan. Sama ada aku atau kawan aku tadi.

Itulah anehnya hidup. Terkadang kita cuma fikir masalah kita sahaja, dan kita fikir orang lain takda masalah yang sama, selepas itu kita datang kepadanya mengadu masalah kita, dengan harapan orang itu dapat selesaikan. Padahal, orang itu pun sama jugak masalahnya dengan kita.

Yang lagi aneh, orang itu dengan murah hati menyelesaikan masalah kita dan masalahnya terbiar begitu saja. Dan bertambah aneh, semua orang mengalaminya, cuma dalam takat yang berbeza2. Ada dalam masalah kerja, cinta, study, motor, duit dan apa2 jelah.

Yang selalu menjadi masalah adalah, apabila ada orang mengadu kat aku, terkadang mudah aku cakap, “Aku pun banyak masalah. Sama macam kau jugak.”

Bayangkan, budak Cina kat bengkel cakap macam tu kat aku, dia pun nak balik kerja, memang tak tukar minyaklah motor aku.

Aku boleh buat kesimpulan, kata-kata, “Kau asyik fikir masalah kau, masalah aku macam mana?” adalah agak bahaya. Kita tolong orang, orang tolong kita balik. Konsep nampak mudah, tapi konsep itu sebenarnya sangat susah apabila kita pun ada masalah seperti orang itu. Itulah yang menjadikan konsep itu mahal. Konsep yang sebenarnya mengajar, 'tolonglah orang walau susah manapun diri kau sendiri'.

Dan aku akui, untuk konsep itu, aku masih sangat gagal. Gagal segagal gagalnya. Terfikir jugak, apsal aku gagal? Mungkin sebab aku asyik lihat masalah aku sendirik sebelum nak tolong orang. Jadi selepas aku fikir2 lagi, konsep itu sebenarnya lebih tepat kalau berbunyi, 'kau tolong orang, Allah akan tolong kau'. Dan sekali lagi nampak indahnya Islam, pasal memang dah jelas perkara itu.

Apa yang aku perlu buat, kalau nak tolong orang terus niat nak dapat pertolongan Allah. Yalah, level aku ni pun level orang awam, bukan level ulama atau wali, jadi wajarlah niat aku itu. Semoga selepas ini aku akan rajin tolong orang, bukan sebab nak orang lain tolong aku, tetapi supaya pertolongan Allah tidak hilang daripada hidup aku.

Selepas motor aku siap, aku terus start dan selepas 50 meter baru aku perasan, aku tertinggal helmet di kedai. Patutlah kepala rasa ringan. Nasib baik teringat, dan nasib baik kereta polis dah lalu awal tadi. Haa...

1 comment:

  1. macam dalam video ni ^_^

    http://www.youtube.com/watch?v=nwAYpLVyeFU

    ReplyDelete